Tuesday, February 09, 2010

Serina Dah Bunting Pelamin

Bunting pelamin. Itulah yang berlaku kepada pelakon dan pengacara Serina Redzuawan. Dia yang baru sahaja diijabkabulkan dengan pasangannya, Gavin Edward O'Luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar pada 1 Januari lalu kini sah hamil lima minggu.




Nampaknya hajat Serina untuk menimang cahaya mata dengan cepat telah dimakbulkan Allah. Tambah manis, berita gembira ini diperolehi ketika Serina dan Gavin masih dalam suasana berbulan madu. Maklumlah usia perkahwinan mereka belum pun sampai tiga bulan. Mengimbas detik-detik dia merasakan dirinya hamil, Serina memberitahu ia berlaku ketika dia sedang sibuk menjalani penggambaran program ‘Jalan-Jalan Cari Makan’ (JJCM) musim terbaru. “Masa penggambaran itu saya rasa kurang selesa dan hendak muntah-muntah.



Pelik juga jadi begitu sebab sebelum itu saya tiada masalah walaupun perlu makan hidangan yang banyak dalam masa sehari. Selepas penggambaran selesai, saya ke farmasi untuk beli ‘pregnancy test’ kerana ingin buat ujian sendiri. Sebaik sampai di rumah saya terus buat ujian dan keputusannya positif. Gembira dengan hasil ujian it, saya mula berfikir bagaimana cara untuk memberitahu suami dan juga ayah. “Akhirnya saya belikan kad ucapan untuk suami dan beritahu yang dia bakal bergelar bapa. Kepada ayah pula, saya memilih untuk beritahu dia secara SMS. Baik Gavin mahupun ayah, masing-masing cukup gembira dengan berita baik ini. Sebagai tanda kasih, sayang dan cintanya kepada saya, Gavin akan membawa saya bercuti ke Perth selama seminggu bermula esok.



Kiranya, ini adalah hadiah kehamilan saya,” cerita Serina bersemangat. Sudah mula mengidam
Oleh kerana ini kehamilan pertama Serina sudah pasti ramai yang ingin tahu bagaimana dia melalui pengalaman baru ini. Menurut Serina, buat masa ini dia tidak mengalami sebarang alahan atau ‘morning sickness’. “Setakat ini saya tidak menghadapi sebarang alahan. Mungkin sebab baru lagi. Tak tahulah kalau selepas ini saya ada masalah itu. Harap-harap tidaklah. Risau juga sebab penggambaran JJCM masih belum habis lagi. Selain itu, saya juga harap sangat-sangat agar saya tidak alah dengan makanan. Susah pula nanti nak mengacara,” ujar Serina yang mengaku sudah mula mengidam. Baru-baru ini dia teringin sangat minum Coca-Cola, sedangkan minuman itu tidak digemarinya.


Dalam masa yang sama, Serina juga cuba tidak terlalu lasak memandangkan ini kehamilan pertamanya. “Memandangkan saya ini seorang yang lasak, untuk kehamilan ini saya cuba untuk tidak terlalu lasak. Takut juga terjadi perkara yang tidak diingini nanti. Lebih-lebih lagi ini kehamilan pertama. Sebagai persediaan, saya sudah minta tip dan panduan daripada rakan-rakan artis yang telah bergelar ibu. Mereka banyak membantu. Saya juga akan dapatkan buku panduan untuk mengetahui lebih lanjut tentang kehamilan,” tambah Serina lagi. Bahagia disamping suami
Menyentuh sedikit tentang kehidupannya selepas bergelar isteri, Serina memberitahu yang kehidupannya kini cukup bahagia. Malah, dia berasa cukup beruntung kepada mendapat seorang suami yang cukup memahami dirinya. “Gavin seorang suami yang saya idam-idamkan selama ini. Dia faham dengan kerjaya saya. Kalau dia tengok saya penat selepas habis ‘shooting’, dia dengan rela hati akan masak untuk saya. Dia tidak kisah membantu dalam urusan rumahtangga. Sebab itu saya rasa bertuah sangat. Biarlah suami saya tidak kaya-raya harta benda, tetapi dia kaya dengan kasih sayang,” luah Serina sambil tersenyum. Kepada peminat Serina, jangan lupa saksikan kemunculan Serina dalam JJCM musim terbaru bermula 14 Februari ini. Serina akan muncul dengan imej terbarunya, berambut pendek. Mengulas tentang imej terbarunya itu, Serina menjelaskan dia sengaja memotong pendek rambutnya bagi menampilkan kelainan. Dia tidak mahu penonton melihat Serina yang berambut panjang seperti dalam drama-drama lakonan dan program-program yang pernah dihoskan olehnya sebelum ini.


No comments: